STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN RESIDENSI

 


STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN RESIDENSI
 
Ini adalah blog dan video kedua dalam siri menjejaki tiga stesen yang telah hilang dari dalam peta Kuala Lumpur pada hari ini.
 
Blog dan video saya pada kali ini menjejak satu stesen keretapi lama yang tidak diketahui ramai kerana kurang pendedahan mengenai kewujudannya.
 
Jom kita jejak apa dan di mana lokasi Stesen Keretapi ini
 
 
LALUAN KE HULU SELANGOR
 


Kawasan Hulu Selangor adalah salah satu kawasan perlombongan utama di utara Kuala Lumpur sejak pertengahan abad ke 19. Ini adalah faktor utama yang mendorong penjajah British untuk menyambung laluan keretapi dari Kuala Lumpur ke arah Utara Lembah Klang bermula pada tahun 1889.
 
Laluan baru ke Hulu Selangor ini menjadi punca terbinanya Stesen Baru Kuala Lumpur di lokasi sekarang seperti yang telah diceritakan pada blog dan video sebelum ini.
 


Dan pada tahun 1892, fasa pertama laluan keretapi telah dibuka menghubungkan Kuala Lumpur ke Batu Junction dan seterusnya ke pekan Rawang.
 
Selang setahun, laluan ini bersambung ke pekan Serendah dan setahun kemudiannya ke Kuala Kubu (Lama).
 
 
STESEN RESIDENSI
 


Berdasarkan satu laporan yang dipetik dari buku 50 Years of Railway in Malaya (50 Tahun Keretapi di Tanah Melayu) yang diterbitkan pada tahun 1935, terdapat satu stesen keretapi khas telah dibina tidak jauh dari kawasan Padang atau dikenali sebagai Dataran Merdeka pada hari ini.
 
Nama stesen keretapi itu ialah Stesen Residensi. 
 
Stesen Residensi ini dinamakan sedemikian bersempena nama kawasan kediaman pegawai kolonial British pada ketika itu iaitu The Residency yang terletak tidak jauh dari stesen tersebut.
 
Ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa sebahagian dari laluan asal landasan keretapi dari Kuala Lumpur ke Batu Junction lebih seratus tahun yang lalu adalah sebahagian dari Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu pada hari ini.

 
Dalam beberapa gambar lama yang diambil di antara tahun 1900 dan 1920an, kita boleh lihat dengan jelas landasan keretapi di hadapan pintu masuk Kelab Selangor yang terletak di sebelah Barat kawasan Dataran Merdeka ini.
 
Kita juga boleh lihat gambar landasan keretapi berhampiran Ibu Pejabat FMSR pada awal abad ke dua puluh. Gambar landasan keretapi ini adalah sebahagian dari Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishammuddin dan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur pada hari ini!
 
Pada pertengahan tahun 1920an, satu jajaran baru telah dibina beberapa ratus meter di sebelah Barat landasan. Jajaran baru ini dibina dengan satu terowong khas melalui Bluff Hill, atau nama sekarang Bukit Aman. Bukit Aman ini adalah lokasi Ibu Pejabat Polis Di Raja Malaysia pada hari ini.
 


Jajaran baru pada tahun 1920an ini adalah jajaran yang sama digunakan pada masa sekarang. Terowong khas untuk keretapi ini juga masih wujud dan terus digunakan sehingga ke hari ini!
 
Selepas jajaran lama tidak digunakan, landasan keretapi di hadapan Kelab Diraja Selangor ini telah dibongkar seperti yang kelihatan di dalam gambar ini. Dan ianya menjadi jalan raya seperti yang kita lihat pada hari ini.
 


Dalam satu gambar oleh G. R. Lambert pada tahun 1900, kita boleh lihat bangunan Residency ini berada di puncak bukit di sebelah Barat Laut dari Bangunan Sultan Abdul Samad.
 
Bekas kawasan kediaman pegawai kerajaan British ini, kini terletaknya Kompeks Memorial Tunku Abdul Rahman dan Memorial Tun Hussein Onn. Kawasan Bukit Residensi ini, kini dikenali sebagai Bukit Perdana.
 
Bukit Perdana ini pernah menempatkan kompleks Jabatan Perdana Menteri sebelum kompleks JPM ini berpindah ke Putrajaya pada lewat tahun 1990an. Kini tapak lama Kompleks JPM adalah institusi pendidikan perniagaan dan perbankan.
 
 
DI MANA TAPAK STESEN RESIDENSI?
 
Maklumat-maklumat yang ada di dalam internet tidak memberikan sebarang petunjuk yang jelas di mana lokasi sebenar Stesen Residensi ini.
 
Hanya terdapat satu sahaja gambar Stesen Residensi yang diketahui wujud online pada masa kini. Tambahan lagi, tiada apa-apa tanda bangunan lain sebagai mercu tanda tambahan untuk rujukan pada gambar tersebut. Hanya terdapat dua tanda yang boleh digunakan untuk meneka lokasi stesen, iaitu :
 
Pertama - landasan yang kelihatan membelok ke kiri, dan
 
Kedua – terdapat bukit di sebelah kiri stesen dalam gambar ini.
 


Pada mulanya, saya terfikir kemungkinan besar lokasi asal Stesen Residensi yang dibina dengan kayu ini adalah terletaknya Perpustakaan Kuala Lumpur pada hari ini. Ini adalah kerana antara maklumat yang digunakan adalah “Stesen Residensi ini dibina di seberang Kelab Selangor ke arah Barat”.
 
Dan jika kita rujuk kepada peta lama Kuala Lumpur, kita boleh lihat laluan keretapi yang mempunyai landasan membelok ke kiri, jika dilihat dari sebelah Utara ke arah Selatan.
 
Melalui pembacaan saya, berdasarkan perbincangan antara peminat sejarah keretapi dalam laman sosial, ada dua teori berkenaan lokasi Stesen Residensi ini.
 
Teori pertama - Stesen Residensi ini terletak di Maxwell Road yang merupakan jalan masuk ke kawasan British Residency.
 


Menurut teori ini lagi, nama Stesen Residensi ini mungkin telah bertukar kepada Maxwell Road Halt atau Perhentian Keretapi Maxwell Road bersempena dengan nama jalan tersebut. Nama Maxwell Road pada hari ini adalah Jalan Tun Ismail. Manakala lokasi Maxwell Road Halt pada hari ini, adalah tapak Stesen KTM Putra di Jalan Tun Ismail berhampiran Sunway Putra dan World Trade Centre.
 
Mengikut teori kedua, lokasi Stesen Residensi terletak pada satu bangunan yang tidak bernama di kaki Bukit Residensi ini. Ini adalah kerana, bangunan tersebut adalah yang paling hampir jaraknya dengan British Residency.
 

Kedua-dua teori ini ada asasnya!
 
Jadi, dimanakah terletaknya lokasi sebenar Stesen Residensi ini? Adakah ianya di tapak Stesen KTM Putra di Jalan Tun Ismail? Atau di kaki Bukit Perdana yang tidak jauh dari Stesen KTM Bank Negara pada hari ini? 

Mungkin pembaca boleh menjawab di bahagian Reply atau di dalam Video di bawah.
 
Tunggukan Bahagian Ketiga, jejak pencarian stesen keretapi yang telah hilang di Kuala Lumpur.



 

Comments

  1. salam sejahtera... Stesen Padang dan Stesen Recidency adalah dua buah stesen yang berbeza dari segi nama dan lokasi... perlu diketahui bahawa terdapat dua landasan keretapi di Kuala Lumpur pada masa itu. Saya kirim gambar di Fb.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN JALAN SULTAN

Menjejak Laluan Keretapi Lama : Bandar Klang ke Kuala Selangor

Stesen Keretapi Tanjung Rambutan Bakal Lenyap?