Menjejak Stesen Keretapi Yang Telah Hilang di Kuala Lumpur (Bahagian Pertama - Stesen Bukit Kuda & Stesen Asal Kuala Lumpur)

 
STESEN ASAL KUALA LUMPUR
 



 
Apabila melihat gambar di atas, kebanyakan dari kita berfikir inilah stesen keretapi pertama di Kuala Lumpur. Tetapi tahukah anda, ini bukanlah stesen asal Kuala Lumpur dan lokasinya juga adalah berbeza.
 
Untuk posting kali ini, saya ingin berkongsi jejak salah satu dari tiga stesen keretapi lama yang telah hilang dari dalam peta Kuala Lumpur pada masa kini.
 
 
SEJARAH KERETAPI SELANGOR
 
Sedikit sejarah awal perkhidmatan keretapi di negeri Selangor.
 


Seperti yang diketahui ramai, laluan pertama operasi keretapi yang berjaya dibuka di Tanah Melayu ialah dari Port Weld atau nama sekarang Kuala Sepetang ke bandar Taiping pada tahun 1885 oleh Perak State Railway. Sebelum itu usaha untuk operasi Johor Wooden Railway pada tahun 1875 tidak berjaya dilaksanakan.
 
Pada tarikh 15 September 1886, Selangor Government Railway telah membuat perjalanan keretapi pertama dari terminus sementara di Bukit Kuda di Klang ke terminus di Kuala Lumpur.
 
Terminus adalah satu terma yang merujuk kepada lokasi stesen/terminal yang terletak di awal atau akhiran pada laluan/landasan tersebut. Satu-satunya stesen keretapi yang boleh diiktiraf sebagai terminus keretapi KTMB yang ada di Malaysia pada masa kini terletak di Stesen Keretapi Tumpat. 10 tahun yang lalu, terminus KTMB di selatan adalah di Tanjong Pagar, Singapura. Apabila perkhidmatan keretapi ke Stesen Tanjong Pagar berakhir pada 30 Jun 2011, terminus di selatan diambilalih oleh Woodland Train Checkpoint. Stesen Padang Besar di Perlis tidak boleh dianggap sebagai terminus kerana laluan keretapi tersebut masih bersambung ke Thailand.


 
Berbalik kepada sejarah keretapi pertama di Selangor, perjalanan keretapi ini membawa bersama DYMM Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ke-4 pada ketika itu dan Gabenor Negeri Selat Sir Frederick Weld serta rombongan seramai 130 orang. Lokomotif yang digunakan dibeli dari projek Johor Wooden Railway yang telah diberi nama - Lady Clarke
 
Adalah agak malang tiada rekod awam yang terdapat di dalam carian internet yang menunjukkan lokasi sebenar stesen Bukit Kuda ini. Namun, hasil kajian oleh seorang peminat keretapi yang telah mengkaji sejarah keretapi di Malaysia hamper 60 tahun, Mr Malcom Wilton-Jones yang kini menetap di United Kingdom melalui website beliau searail.malayanrailways.com, lokasi asal Terminus Bukit Kuda ini berkemungkinan terletak di Jalan Dato Mohd Sidin yang berdekatan dengan laluan keretapi berhampiran Jambatan Connaught. Hasil tinjauan saya, kawasan ini tertutup dari pandangan awam. Berdasarkan maklumat dalam Google Maps, kemungkinan besar ianya adalah kawasan perniagaan besi lusuh. 

Terima kasih kepada beliau kerana memberi kebenaran kepada saya untuk menggunakan maklumat-maklumat yang terdapat di dalam website searail.malayanrailways.com ini dan masih terus menjawab banyak e-mail saya berkaitan sejarah keretapi di Tanah Melayu sehingga ke hari ini.
 

 
Mengikut catatan akhbar The StraitsTimes pada ketika itu, keretapi khas dari Stesen Bukit Kuda berlepas pada jam 9.40 pagi dan tiba di terminus Kuala Lumpur pada jam 11.15 pagi. Perjalanan ini mengambil masa 95 minit untuk perjalanan sejauh 19 batu 40 rantai atau lebih kurang 30.5 kilometer.
 
Perjalanan melalui keretapi ini telah memendekkan perjalanan tradisional melalui jalan sungai dan jalan darat. Sebelum ini, perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur mengambil masa hampir sehari suntuk untuk tiba. Itupun bergantung kepada keadaan cuaca, sungai dan jalan tanah merah.
 
Perjalanan terdekat pada ketika itu ialah dengan menggunakan sampan menyusuri Sungai Klang yang berliku-liku sejauh 15 batu sebelum tiba di Kuala Sungai Damar Sara (kini Sungai Damansara dan terletak di Seksyen 26, Shah Alam). Kemudian, ianya bersambung pula dengan perjalanan melalui jalan darat ke Kuala Lumpur sejauh 16 batu. Laluan ini dikenali sebagai Jalan Damansara oleh British.
 
Mengikut laporan Straits Times, perjalanan pertama keretapi khas ini telah melalui 2 buah stesen yang telah siap dibina ketika itu iaitu Stesen Batu Tiga dan Stesen Petaling. Perjalanan pertama ini tidak berhenti di kedua-dua buah stesen ini. Namun, rakyat jelata berbaris di platform kedua-dua stesen keretapi ini sebagai tanda hormat ke bawah DYMM Sultan, Gabenor dan rombongan di  atas kejayaan perjalanan sulung keretapi ini.
 
 
DI MANA TAPAK ASAL STESEN KERETAPI KUALA LUMPUR?
 
Jadi, dimanakah lokasi asal stesen keretapi pertama Kuala Lumpur?
 


Ini adalah gambar penghujung landasan di Kuala Lumpur, yang dipercayai diambil pada tahun 1886 dan di dalam bulatan ini adalah stesen asal Kuala Lumpur. 


 
Ini pula adalah keadaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada satu acara perasmian lokomotif bernama Lady Weld selang beberapa hari dari perjalanan pertama dari Klang ke Kuala Lumpur. Ramai yang tersalah sangka kerana terdapat beberapa blog dan Facebook yang menggunakan gambar di atas sebagai Stesen Bukit Kuda di Klang. 



Merujuk kepada catatan wartawan akhbar Straits Times seperti di atas, tiada sesi fotografi di Stesen Bukit Kuda sebelum berlepas ke Kuala Lumpur tetapi terdapat satu majlis menamakan lokomotif Lady Weld pada hari Sabtu, 18 September 1886 dan sesi fotografi beramai-ramai telah diadakan. Bukit yang kelihatan di belakang stesen keretapi di sebelah kiri gambar ialah Bluff Hill (lokasi Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada hari ini). 
 

 


 


Pada tahun 1892, satu bangunan setingkat yang menempatkan Ibu Pejabat Keretapi telah dibina bersebelahan dengan tapak lama Stesen Asal Kuala Lumpur oleh Arkitek Arthur Charles Norman.
 


13 tahun kemudian iaitu pada tahun 1905, bangunan setingkat ini kemudiannya digantikan pula dengan bangunan 2 tingkat sebagai Ibu Pejabat Federated Malayan States Railway atau FMSR.
 
Ini adalah hasil dari rekaan semula Penolong Arkitek kepada Pengarah Kerja Raya ketika itu iaitu Mr Arthur Beneson Hubback. Mr Hubback juga adalah arkitek yang sama merekabentuk Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Stesen Keretapi Ipoh, Masjid Jamek Kuala Lumpur dan beberapa bangunan bersejarah yang lain terutama di Kuala Lumpur. Kebanyakan rekaan beliau menggunakan gaya Indo-Saracenic (neo Mughal) yang di inspirasi dari British India.
 
Image from Google Maps

 
Selepas bangunan baru Ibu Pejabat FMSR siap dibina di Jalan Sultan Hishamuddin pada tahun 1917, bangunan 2 tingkat ini telah bertukar fungsi beberapa kali seperti sebagai Ibu Pejabat Kerja Raya, Jabatan Air Selangor, Bank Negara Malaysia, Bank Pertanian Malaysia dan Perbadanan Kraftangan Negara. Sejak tahun 2010, bangunan ini telah digunakan sebagai Muzium Tekstil Negara.
 
Sedutan Filem Jackie Chan Police Story 3 Supercop di hadapan Muzium Tekstile Negara (1992)


Sedutan Filem Jackie Chan Police Story 3 Supercop dengan logo Perbadanan Kraftangan (1992)


Bangunan ini pernah menjadi latar belakang filem Jackie Chan, Police Story 3 Supercop pada tahun 1992 dahulu. Kita boleh lihat logo Perbadanan Kraftangan Malaysia pada salah satu adegan seperti gambar di atas. Anda boleh menonton lokasi pembikinan filem Police Story 3 Supercop di Malaysia seperti video di bawah.
 



Bersebelahan bangunan ini ialah North Goods Yard atau Laman Barang Utara di mana barangan yang dibawa menggunakan perkhidmatan keretapi dipunggah sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang hatta sehingga ke Seremban.
 
Sebahagian kawasan Laman Barang Utara ini telah dijadikan lokasi ibupejabat baru Bank Pertanian Malaysia pada tahun 1977. Sementara nama Bank Pertanian ini telah ditukar kepada Agro Bank sejak 1 April 2008.
 
Semasa pembinaan Bank Pertanian pada tahun 1977/1978 ini, terdapat Arched Wall iaitu Tembok Gerbang / Gapura sepanjang 15 meter dikekalkan sebagai tanda kenang-kenangan kawasan yang pernah menjadi stesen pertama Kuala Lumpur dan Laman Barang Utara ini.
 
Pada hari ini, kita masih boleh melihat separuh dari Arched Wall ini. Ini adalah kerana sebahagiannya telah dirobohkan pada tahun 2015 yang lalu.
 
Dalam peta tahun 1889, terdapat lakaran cadangan pembinaan stesen baru Kuala Lumpur. Ianya terletak 26 rantai atau lebih setengah kilometer ke Selatan dari tapak stesen asal. Ini adalah untuk menyesuaikan lokasi stesen untuk penambahan laluan keretapi baru ke Hulu Selangor dan ke Sungai Besi.

Stesen baru ini dibuka pada tahun 1892 di tapak sekarang di Jalan Sultan Hishammudin. Pada ketika itu, rupa hadapan Stesen Kuala Lumpur adalah seperti pada gambar lama di atas. Dan merujuk kepada peta tersebut, bahagian hadapan stesen ini kelihatan berhadapan dengan Sungai Klang.
 
18 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1910, pihak Federated Malayan States Railway atau FMSR telah menaiktaraf stesen setingkat ini di tapak yang sama. Pengubahsuaian ini menghasilkan stesen yang lebih besar dengan konsep Indo-Saracenic seperti yang kita kenali pada hari ini.
 
Stesen Kuala Lumpur ini telah menjadi terminal utama KTMB untuk lebih 100 tahun. Kini, fungsi terminal utama KTMB telah diambilalih oleh Stesen Sentral di KL Sentral sejak tahun 2001.
 
Tunggukan Bahagian Kedua menjejak pencarian stesen keretapi yang telah hilang di Kuala Lumpur iaitu Stesen Residensi.
 
Sila support dengan Follow BlogFacebook dan Subscribe YouTube channel kami.
 
 




Comments

Popular posts from this blog

STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN JALAN SULTAN

Menjejak Laluan Keretapi Lama : Bandar Klang ke Kuala Selangor

Stesen Keretapi Tanjung Rambutan Bakal Lenyap?