Menjejak Laluan Keretapi Lama : Bandar Klang ke Kuala Selangor

 

MENJEJAK LALUAN KERETAPI LAMA : 

LALUAN KERETAPI DARI KLANG KE KUALA SELANGOR



Tidak ramai yang mengetahui lebih 100 tahun yang lalu pernah wujud satu laluan keretapi dari bandar Klang ke Kuala Selangor.

Tetapi landasan keretapi tersebut telah hilang akibat penutupan perkhidmatan keretapi ini sejak tahun 1930. Yang tinggal kini hanyalah laluan bersejarah dengan sebilangan besarnya telah menjadi jalanraya. Terdapat juga laluan yang hilang dari pandangan kerana telah menjadi bangunan kedai, kilang dan belukar.

Perkhidmatan keretapi dari bandar Klang ke Kuala Selangor bermula pada tanggal 1 Februari 1913 iaitu dari persimpangan Jambatan Connaught ke pekan Kapar. Laluan ini bermula dari persimpangan Jambatan Connaught di tepi Sungai Klang yang terletak di Bukit Kuda. 

Jarak perjalanan yang direkodkan dari Jambatan Connaught ke stesen Kapar ialah sejauh 11 batu 62 rantai atau bersamaan dengan 18.95km.


Kini, kawasan permulaan laluan tersebut adalah sebahagian dari laluan Jambatan Keretapi Connaught ke Kuala Lumpur dan Jalan Dato Mohd Sidin dengan jarak lebih kurang 1km.

Dari Jalan Dato Mohd Sidin, laluan ini bersambung ke persimpangan Jalan Landasan. Jarak Jalan Landasan ini adalah sejauh 2km.

Di penghujung Jalan Landasan ini, jejak laluan telah hilang sedikit akibat pembinaan kawasan rumah kedai dan Lebuhraya Persekutuan serta bulatan pusat bandar Klang.



Jejak laluan keretapi ini diteruskan semula di Jalan Melayu. Panjang jalan ini hanyalah sepanjang 230 meter. Malangnya, papantanda Jalan Melayu tidak ada di sepanjang jalan ini. Nama Jalan Melayu hanya terdapat di beberapa buah kedai yang meletakkan nama jalan pada alamat di papantanda kedai mereka.

Seterusnya, jejak laluan ini bersambung ke Jalan Goh Hock Huat. Jarak perjalanan di sepanjang Jalan Goh Hock Huat ini ialah sejauh 3.1km.  Jalan Goh Hock Huat ini berakhir di persimpangan Jalan Pintasan Selat Kelang.



Saya teruskan perjalanan dengan melintasi Jalan Pintasan Selat Kelang dan masuk ke Lorong Bakti 1. Jarak lorong ini ialah sejauh 300 meter sehingga menemui jalan mati. Di sini, jejak laluan keretapi juga telah hilang oleh kerana terdapat kawasan perkilangan dan juga Lebuhraya Shapadu. Jejak laluan yang hilang ini dianggarkan berjarak setengah kilometer.


Laluan itu bersambung semula di Jalan Keretapi Lama di sebelah Barat Lebuhraya Shapadu. Anda boleh berjumpa dengan papantanda Jalan Keretapi Lama yang pertama di sini. Agak melucukan kerana di dalam Google Maps, nama jalan ini adalah Jalan Sekolah tetapi papantanda menunjukkan Jalan Keretapi Lama seperti di atas.

Dari sini, anda boleh nampak Lebuhraya Shapadu dan bumbung kawasan kilang. Panjang Jalan Keretapi Lama ini adalah 700 meter dan kawasan ini adalah kawasan perumahan teres dan apartment.

Jalan Keretapi Lama ini kemudiannya bersambung dengan Jalan Sekolah berhampiran kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang. Sepanjang jalan ini anda akan bertemu dengan kawasan perumahan kampung dan kawasan perkilangan.




Jalan Sekolah ini bersambung semula dengan satu lagi nama Jalan Keretapi Lama semula yang terletak berhampiran dengan Masjid Kiyai Hj Abdullah Umar di Batu 4. Di sini juga kita akan berjumpa dengan papantanda Jalan Keretapi Lama kedua bersetentang dengan masjid di atas.

Hampir 2 km dari masjid tadi, anda akan bertemu satu kawasan berselekoh berbentuk “U” dengan satu kesan sejarah yang masih tidak diketahui ramai. Di sini terletaknya kesan tinggalan binaan jambatan keretapi lama di anak Sungai Puloh iaitu Jambatan George Dearie Russell. 

Gambar lama jambatan ini semasa dalam pembinaan seperti di bawah.




Bagaimanapun, agak sukar untuk menghampiri kesan binaan ini kerana terdapat kilang dan sungai yang berselut. Saya bernasib baik kerana dapat menggunakan drone untuk merakam visual di kawasan yang agak sukar untuk dimasuki ini. 

Semasa penggambaran ini dibuat, terdapat seekor burung bangau yang kelihatan seperti menjaga kawasan ini. Mungkin ianya sedang menjaga telur atau menjaga pasangannya yang bertelur. Wallahua’lam. 

Untuk mengelakkan pertembungan dengan burung bangau ini, saya tidak dapat dapat merakam dari jarak paling dekat dan hanya mampu untuk zoom dari jauh sahaja. 


Selepas di zoom, kita dapat lihat dengan lebih jelas kesan tinggalan jambatan keretapi tersebut. Pemandangan dari drone juga dapat memperlihatkan kepada kita bahawa laluan keretapi ini pada asalnya adalah lurus apabila melalui jambatan ini. 

Selepas jambatan ini tidak lagi digunakan, laluan ini menjadi jalanraya berselekoh berbentuk U. Ini adalah kerana terdapat kunci air yang mengawal aliran air ke muara Sungai Puloh dan seterusnya ke Selat Melaka. 



Di penghujung kawasan berselekoh ini, nama jalan bertukar lagi dari Jalan Keretapi Lama kepada Jalan Lapis Satu Kiri. Jalan Lapis Satu Kiri ini adalah pendek, panjangnya hanya dalam 600meter sahaja.  Kemudiannya ia bersambung menjadi Jalan Lapis Satu Kanan iaitu sejauh 1.1 km. Di persimpangan empat ini, nama jalan bertukar menjadi Jalan Keretapi Lama. 

Saya cuba untuk mencari kesan tinggalan stesen keretapi Kapar tetapi tiada kesan yang dijumpai pada perjalanan kali ini. Saya akan cuba lagi pada lawatan akan datang. Namun agak sukar untuk menjumpai tinggalan kesan stesen Kapar sekiranya telah terbina struktur lain di tapak asal. 

Saya terjumpa lagi papantanda Jalan Keretapi Lama untuk kali ketiga. Papantanda ini terletak berhampiran Tanah Perkuburan Islam Pekan Kapar. 

Saya meneruskan lagi perjalanan menghala ke Stesen Jeram. Menurut catatan dalam internet, laluan stesen Kapar ke Jeram ini mula digunakan pada 1 Jun 1913, iaitu 4 bulan selepas laluan pertama Jambatan Connaught ke Stesen Kapar dibuka. 


Dalam perjalanan ini, saya bertemu persimpangan tiga Jalan Kapar. Laluan Jalan Kapar merupakan jalan utama dari bandar Klang ke Kuala Selangor dan Teluk Intan di Perak pada masa dahulu sehingga kini. Apabila Lebuhraya Pantai Barat (WCE) disiapkan sepenuhnya, kemungkinan besar trafik di laluan Jalan Kapar – Kuala Selangor tidak sesibuk seperti sekarang. 

Jejak laluan keretapi ini juga hilang dengan pembinaan kawasan perkilangan di utara Jalan Kapar ini. Kesan jejak laluan keretapi ini muncul semula dengan jalan tanah merah disebalik kawasan kilang-kilang ini. Untuk ke  persimpangan yang membolehkan anda ke laluan tanah merah ini, anda perlu memandu melalui Jalan Kapar dan belok ke kanan ke Jalan Sempadan Batu 14. 


Para pembina jalan keretapi ini tentu tidak menyangka bahawa selepas 100 tahun trek keretapi ini dibina oleh mereka, ada bahagian dari laluan keretapi berkenaan berada di bawah pencawang elektrik ini.



Di dalam perjalanan, saya terjumpa satu surau tetapi alamatnya berdasarkan nama jalan kecil bersebelahan surau ini iaitu Jalan Suara. Selepas hampir 3km memandu dari simpang jalan tanah merah tadi, barulah saya terjumpa satu  Kilang Laminating Papan yang meletakkan nama Jalan Keretapi Lama pada papantanda alamat kilang berkenaan.   



Kurang dari 100 meter ke hadapan, barulah saya terjumpa papantanda Jalan Keretapi Lama untuk kali keempat. Papantanda ini terletak bersebelahan dengan kilang laminating papan ini. 

Saya memandu lagi sejauh 4km ke Utara. Dalam perjalanan ini, terdapat satu tinggalan sejarah yang paling unik dan paling menarik untuk dilawati. 



Jika dilihat pada visual dari udara ini, laluan keretapi asal telah dilencongkan untuk pembinaan kawasan Sekolah Kebangsaan Jeram. Berhadapan dengan pintu masuk SK Jeram ini ialah kesan tapak stesen keretapi Jeram. Mengikut rekod, jarak dari Stesen Kapar ke Stesen Jeram adalah sejauh 7 batu 63 rantai bersamaan 12.5km.   



Walaupun ianya hanyalah tinggalan binaan batu-bata dan bongkah batu, anda boleh merasai kualiti kerja yang baik dan kemas, dan masih kukuh ke hari ini. Keadaan tinggalan stesen Jeram ini masih berada dalam keadaan baik, mungkin kerana ianya berhadapan dengan pos pengawal SK Jeram. 



Dari pandangan udara, bandar Jeram hanya terletak kurang dari 1km dari sekolah rendah ini. 



Dan dari visual melalui dron ini, Bukit Malawati di Kuala Selangor turut jelas kelihatan. 

Dari tapak stesen Jeram ini, saya teruskan perjalanan untuk mencari lokasi Stesen Assam Jawa. Laluan dari Stesen Jeram ke Assam Jawa dibuka pada 1 September 1913 dengan jarak 5 batu 47 rantai bersamaan 9km. 

Jejak laluan keretapi dari stesen Jeram bersambung dengan Jalan Haji Ibrahim. Jarak Jalan Haji Ibrahim ini ialah sejauh 2km. 


Jalan Haji Ibrahim ini kemudiannya bersambung dengan Jalan Lebai Daud sejauh 2.2km sehingga tiba di SJKC Chung Wah di Sasaran. Sepertimana di SK Jeram, jejak laluan keretapi ini turut kelihatan seperti telah dilencongkan untuk pembinaan SJKC Chung Wah ini. 


Jejak tersebut bersambung melalui kawasan perumahan penduduk tempatan di Jalan Lee Tiam Beng dan hilang sedikit kerana terdapat parit. Mungkin terdapat jambatan atau tambak yang merintangi parit ini satu masa dahulu.


Jejak keretapi ini bersambung dengan jalan tanah merah bersebelahan ladang kelapa sawit. Jalan ini diketahui amat popular sebagai laluan penggemar aktiviti berbasikal terutama pada cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum. 



Berdekatan penghujung jalan tanah merah ini adalah satu lagi tinggalan kesan sejarah iaitu jambatan besi Pasir Tuntung. 



Kita boleh lihat ketinggian jambatan ini pada gambar lama lebih seratus tahun lalu pada ianya mula2 siap seperti gambar diatas. 




Untuk sampai ke sini dari SJKC Chung Wah, anda perlu menghala ke pekan kecil Sesaran, belok ke kiri dan membuat pusingan U di simpang lampu isyarat. Kemudian teruskan perjalanan melalui Jalan Kapar dan belok ke kanan ke Jalan Tok Empat Yusof. 



Jambatan besi ini kini berada dalam keadaan yang amat daif dan tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan bermotor. Dalam keadaan sekarang, ianya hanya sesuai untuk pejalan kaki dan pengguna basikal sahaja. Namun kelihatan beberapa penunggang motosikal yang masih melalui jambatan uzur ini.

Amat malang juga apabila di persimpanan jalan tanah merah dan jalan tar ini kini dijadikan kawasan pembuangan sampah haram. 




Dari Jambatan Pasir Tuntung dan jalan tanah merah ini, jalan bersambung ke Jalan Dato Harun menuju ke Assam Jawa dan melalui Jalan Kampung Tengah. 




Berdasarkan pengiraan kasar saya menggunakan Google Map, lebih kurang setengah kilometer sebelum tiba di persimpangan Laluan 54 Jalan Kepong – Kuala Selangor, di sini dipercayai terletaknya tapak asal Stesen Assam Jawa. 

Perjalanan diteruskan lagi menghala ke Kuala Selangor. Laluan dari Assam Jawa ke Kuala Selangor dibuka pada 15 Februari 1914 dengan jarak 4 batu 36 rantai bersamaan 7.16km.

Dari simpang empat Jalan Kg Tengah tadi, kita akan melintasi Laluan 54 dan seterusnya melalui Jalan Teluk Piah Kanan. Jalan ini kemudiannya bersambung dengan Jalan Teluk Piah Kiri sehingga ke satu kawasan berselekoh di tepi Sungai Selangor. Di dalam Google Map laluan ini dinamakan Jalan Keretapi Lama tetapi di lokasi ini diletakkan papantanda Jalan Teluk Piah Kiri. 


Adakah di penghujung Jalan Teluk Piah Kiri terletaknya tapak stesen Kuala Selangor? Hasil pengiraan jarak, terdapat kekurangan jarak lebih dari 1 kilometer laluan keretapi ini dari stesen Assam Jawa.


Ini menjadikan jejak laluan keretapi ini mungkin berakhir di bandar lama Kuala Selangor.
 

Adakah laluan tanah merah ini sebahagian dari laluan lama keretapi tersebut?  Dimanakah terletaknya tinggalan tapak asal stesen keretapi Kuala Selangor? 

Saya pernah melawat Muzium Kuala Selangor di Bukit Malawati tetapi tiada maklumat dalam peta bandar lama Kuala Selangor mengenai stesen keretapi tersebut. Hasil pencarian di internet juga tidak memaparkan apa-apa maklumat berkenaan stesen keretapi Kuala Selangor. 

Adalah amat penting untuk pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Warisan Negara untuk melihat kesan tinggalan yang masih ada ini sebagai satu lagi tambahan warisan kebangsaan. 

Langkah proaktif seperti memasang papantanda maklumat, membaik pulih kedua-dua jambatan, penjagaan kebersihan, mengemaskini laman web dan sebagainya wajar dibuat kerana ia boleh digunakan sebagai satu lagi tarikan pelancongan baru untuk negeri Selangor.

Anda boleh menonton bahagian pertama Video Menjejak Laluan Keretapi Lama Klang – Kuala Selangor di bawah.




Nota : InsyaAllah, saya akan kemaskini laluan tersebut dengan Blog dan Video Part 2 untuk memasukkan visual hentian-hentian (train halts) yang pernah wujud di sepenjang laluan termasuk sedikit pembetulan laluan dalam Part 1 serta tambahan maklumat yang baru diterima. 

Ini akan dibuat selepas PKP 3.0 berakhir dan kebenaran merentas daerah diberikan.

Suila spport dengan Follow Blog, Facebook dan Subscribe YouTube channel kami.

Terima kasih


Comments

Popular posts from this blog

STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN JALAN SULTAN

Stesen Keretapi Tanjung Rambutan Bakal Lenyap?