Asal Usul Nama Kem Wardieburn di Setapak Kuala Lumpur

ASAL USUL NAMA KEM WARDIEBURN

 

Tanda nama Kem Wardieburn di pintu masuk (Google Maps)


Kem Wardieburn adalah salah satu kem tentera yang masih wujud di dalam kawasan bandaraya Kuala Lumpur pada ketika ini. Kem tersebut terletak di Jalan Genting Klang di Setapak dan menempatkan Divisyen Keempat Infantri Tentera Darat atau lebih dikenali sebagai Markas 4 Divisyen. 

Tahukah anda dari mana asal usul nama kem ini mendapat nama Kem Wardieburn?

Terdapat teori yang mengatakan kem ini mendapat nama dari serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dimana kesan serangan itu diabadikan dengan menamakan kawasan ini sebagai “War” (Perang), “Die” (Mati) dan “Burn” (Terbakar).

Tidak ramai yang tahu Kem Wardieburn ini asalnya adalah sebuah kawasan perladangan kopi dan getah. Pada tahun 1890an, dua adik beradik Meikle dari Britain iaitu Christopher Meikle dan Robert Meikle telah membuka satu ladang getah dan menamakan ladang mereka sebagai Wardieburn Estate sempena nama kelahiran tempat mereka iaitu Wardieburn House yang terletak di Edinburgh, Scotland. 

Christopher dan Robert Meikle juga adalah antara pengasas awal Kelab Golf Selangor (kini Kelab Golf Diraja Selangor) pada tahun 1893.


Nama asal syarikat yang memiliki Wardieburn Estate pada awal abad 20


Pada tahun 1906, syarikat The Kuala Lumpur Rubber Company Limited (KLRC) telah diperbadankan di London dan mengambilalih Wardieburn Estate dari adik beradik Meikle. Syarikat yang sama turut mengambilalih beberapa pengurusan ladang dari peladang-peladang British yang lain seperti Kent, Uganda, Klang Gate dan Mount Estate. 


Peta tahun 1923 menunjukkan lokasi Wardieburn Estate. 
Turut kelihatan ialah Klang Gate Estate & Mount Estate.


Selain dari perladangan getah, syarikat KLRC turut terlibat dalam perlombongan bijih timah sejak tahun 1924. 




Nama asal syarikat yang memiliki Wardieburn Estate pada awal abad 20


Di antara tahun 1959 dan 1961, KLRC telah mengambilalih Kepong (Malay) Rubber Estates Limited dan menukar nama syarikat kepada Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Limited (KLKA) pada tahun 1960. Pada tahun 1973, syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) ditubuhkan dan mengambilalih semua aset dan tanggungan KLKA dan menjadi syarikat diperbadankan di Malaysia sepenuhnya.


Peta tahun 1960an menunjukkan lokasi Wardieburn Estate. 
Empangan Klang Gate turut kelihatan di Timur Laut peta.


Selepas Perang Dunia Kedua, pada tahun 1947, sebahagian kawasan ladang seluas 32 ekar telah diberikan kepada pihak tentera British untuk dijadikan kem tentera dan dinamakan Wardieburn Camp. Kem ini pernah menempatkan 22 Special Air Service Regiment (22 SAS), 2nd//6th Gurkha Rifle dan 1st Battalion Somerset Light Infantry untuk menentang pengganas komunis ketika zaman Darurat di Persekutuan Tanah Melayu. 

HRH Duke of Edinburgh, mendiang Prince Philip pernah melawat 1 Rifle Brigade yang ditempatkan di Kem Wardieburn pada 1 November 1956 ketika membuat lawatan kerja di Kuala Lumpur.


Foto lawatan HRH Duke of Edinburgh ke Wardieburn Camp pada 1 November 1956


Markas 4 Divisyen di Kem Wardieburn kini menempatkan markas 12 Briged, 1 Rejimen Renjer Diraja dan 12 Skuadron Semboyan Diraja. Panglima 4 Divisyen yang mengetuai kem ini adalah bertaraf Mejar Jeneral (Jeneral 2-bintang).

Kawasan kem ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan industri di Wangsa Maju, Taman Ibu Kota, Taman Melati, KL East dan Taman Melawati. Kawasan ini juga dihubungi dengan jalinan jalanraya yang amat baik termasuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Duta-Ulu Klang Expressway (DUKE), Ampang-Ulu Klang Elevated Highway (AKLEH), Lebuhraya KL-Karak dan yang terbaru Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE). Stesen LRT Wangsa Maju dan Taman Melati hanya mengambil masa beberapa minit perjalanan serta Terminal Bersepadu Gombak yang akan dibuka tidak lama lagi hanya terletak 4km dari pintu masuk kem.

Terdapat beberapa institusi pendidikan yang berhampiran dengan Kem Wardieburn seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC), VTAR Institute, Kolej Vokasional Setapak dan Kolej Vokasional ERT Setapak. 


Gambaran terkini lokasi Kem Wardieburn (Google Maps 2021)


Terdapat juga beberapa kompeks beli belah berhampiran kem termasuk Setapak Central, Alpha Angle, Melawati Mall, KL East Mall, M3 Mall, Giant Hypermarket Setapak, Wangsa Walk, AEON Big Wangsa Maju dan Plaza Idaman. 

Di hadapan pintu masuk utama kem terletak pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan dan Puspakom Wangsa Maju. 

Kawasan pelancongan terkemuka seperti Batu Caves, Permatang Kuarza Gombak (Bukit Tabur), Muzium Orang Asli Gombak dan Zoo Negara juga terletak tidak jauh dari Kem Wardieburn.

Diharap kem ini terus kekal di lokasi sama dan tidak dipindahkan seperti yang terjadi pada kem-kem lain seperti Kem Pasifik di Jalan Ampang dan Pengkalan Udara TUDM Sungai Besi atas nama "pembangunan".


Support dengan Follow BlogFacebook dan Subscribe YouTube channel kami.


Terima kasih


Comments

Popular posts from this blog

STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN JALAN SULTAN

Menjejak Laluan Keretapi Lama : Bandar Klang ke Kuala Selangor

Stesen Keretapi Tanjung Rambutan Bakal Lenyap?