Stesen Keretapi Tanjung Rambutan Bakal Lenyap?
STESEN KERETAPI TANJUNG RAMBUTAN BAKAL LENYAP?
Laporan akhbar Kosmo 15 Jun 2021 (sumber Perak Heritage Society Official)
Membaca laporan akhbar Kosmo bertarikh 15 Jun 2021 mengenai Stesen Keretapi Tanjung Rambutan yang mungkin bakal lenyap adalah amat menyedihkan.
Mengikut carian di internet, stesen keretapi ini telah mula digunakan pada 1 Jun 1896 apabila laluan dari Ipoh ke Tanjung Rambutan dibuka. Hampir enam bulan selepas itu, laluan dari Tanjung Rambutan ke Chemor pula dibuka.
Lebih satu abad yang lalu, kawasan di sekitar Tanjung Rambutan adalah merupakan ladang getah dan lombong bijih timah. Stesen ini dirancang untuk membawa keluar hasil komoditi dengan menggunakan keretapi kerana pada ketika itu, tiada laluan jalan tar seperti pada hari ini.
Antara sebab tapak Federal Lunatic Asylum (kini Hospital Bahagia Ulu Kinta) dipilih di Tanjung Rambutan pada tahun 1910 adalah kerana terdapat kemudahan pengangkutan keretapi beserta stesen yang terletak bersebelahan dengan hospital ini.
Satu persatu stesen keretapi lama dirobohkan. Ini berbeza dengan negara jiran yang memulihara dan mengekalkan stesen keretapi lama sebagai salah satu warisan untuk generasi akan datang.
Lihat sahaja keadaan stesen lama Pang Asok di Thailand. Bagaimana stesen ini dijaga dengan baik sebagai satu khazanah dan boleh menjana ekonomi setempat dari segi tarikan pelancongan dan menguntungkan masyarakat di situ.
Kini bangunan lama stesen keretapi Tanjung Rambutan adalah sebaris dengan beberapa stesen lama seperti di Taiping, Tapah Road, Batu Gajah dan Tanjung Malim yang masih wujud kerana stesen-stesen lain telah lama dirobohkan apabila digantikan dengan yang baharu atas nama "pembangunan". Manakala Stesen Keretapi Ipoh bernasib baik kerana ianya masih digunakan sebagai terminal utama untuk negeri Perak.
Adakah generasi akan datang hanya akan dapat melihat stesen ini melalui gambar dan video sahaja?
Ibarat kata Prof Emeritus Datuk Dr Zuraina Majid, mantan Pesuruhjaya Warisan Kebangsaan dan pernah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi UNESCO di Paris - "Kita adalah masyarakat yang sangat terlatih tapi tidak Terdidik" dalam pemuliharaan warisan.
Kita tengoklah nanti. Masa akan menjadi saksi.
Terima kasih
Tmpt tu mnjdi tumpuan warga ulu kinta, utk mncri juadah mknan. Mcm2 ada jualan dsekitarnya.
ReplyDelete