STESEN KERETAPI YANG TELAH HILANG DI KUALA LUMPUR – STESEN JALAN SULTAN
STESEN JALAN SULTAN
Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera
Ini adalah bog dan video dalam siri ketiga
dalam menjejaki 3 stesen keretapi yang telah hilang dari peta Kuala Lumpur pada
hari ini. Ini adalah kisah dan
jejak lokasi Stesen Jalan Sultan; dan bagaimana stesen dan laluan dari stesen ini menjadi sejarah asas pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Ringan @ STAR LRT yang kemudiannya dipanggil LRT Ampang Line pada hari ini.
Selain dari merancang laluan keretapi ke Hulu Selangor, pihak Selangor State Railway juga merancang laluan keretapi untuk menyambung Kuala Lumpur ke bahagian Selatan bandaraya ke kawasan perlombongan bijih timah yang pesat di Sungai Besi.
Pada 1 Jun 1893, fasa pertama dibuka dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Pudu. Stesen Jalan Sultan dijadikan hentian pertama di dalam laluan ini. Hampir dua tahun selepas itu, iaitu pada 1 Mac 1895, laluan dari Pudu ke Salak Selatan dan Sungai Besi telah dibuka.
Pada asalnya Stesen Jalan
Sultan adalah dari jenis stesen perhentian. Merujuk kepada satu
peta lama Kuala Lumpur, lokasi asal Stesen Jalan Sultan adalah terletak
bersetentang dengan Hotel Ancasa pada hari ini.
Foch Avenue adalah antara
kawasan perniagaan utama di Kuala Lumpur ketika itu. Laluan keretapi dari Stesen
Kuala Lumpur ke Stesen Jalan Sultan menyebabkan wujud banyak laluan rata keretapi
di persimpangan jalan-jalan utama seperti di Rodger Street, High Street,
Petaling Street dan Sultan Street. Jika dilihat pada satu gambar
lama yang diambil di Petaling Street pada tahun 1910,
bentuk pagar yang kelihatan di sebelah kanan biasanya jenis yang digunakan untuk
laluan rata keretapi.
Contoh pagar jenis yang
sama boleh dilihat pada gambar dalam blog zkeretapi.blogspot.com. Penggunaan
pagar jenis ini sudah hampir pupus pada masa sekarang.
Laluan rata yang
banyak di pusat bandar menyebabkan kesesakan setiap kali keretapi melalui Foch
Avenue. Untuk mengatasi
masalah kesesakan yang berlanjutan, pihak Federated Malayan States Railway
membina satu jajaran baru yang menyambungkan Stesen Kuala Lumpur ke Sungai Besi
melalui Simpang Port Swettenham pada tahun 1912. Pembukaan rasmi simpang
ini ialah pada 1 September 1913 dan ianya terletak berdekatan Stesen KTM Bangsar pada hari ini, melalui Seputeh
dan Salak Selatan.
Pembukaan jajaran
baru ini menyebabkan laluan keretapi dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Jalan
Sultan ditutup. Penutupan laluan di Foch Avenue, menjadikan kawasan bekas
landasan keretapi digunakan sebagai jalanraya untuk kenderaan biasa. Manakala satu
bangunan berbentuk terminus dibina untuk menggantikan fungsi stesen perhentian
yang asal. Lokasi stesen
terminus ini adalah di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Sultan. Nama laluan
ini juga diubah kepada Sultan Street Branch.
Berdasarkan satu
gambar dari udara yang diambil pada tahun 1924 oleh Tentera Udara British, kita
boleh lihat laluan asal dari Stesen Kuala Lumpur untuk ke Foch Avenue.
Tetapi semasa gambar ini diambil, jambatan keretapi
yang menyeberangi Sungai Klang sudah tiada akibat penutupan laluan keretapi
beberapa tahun sebelum itu. Kita juga boleh
melihat jajaran Sungai Klang pada bentuk asal, sebelum diluruskan oleh pihak
British tidak lama kemudian.
Pada 1 Mei 1914,
satu laluan khas keretapi telah dibuka di Ampang Junction. Lokasi Ampang
Junction, berada di antara Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Miharja pada hari
ini.
Sepertimana laluan
ke Sungai Besi, tujuan utama laluan Ampang Branch adalah untuk mengangkut hasil
bijih timah yang kaya terdapat di kawasan Ampang dan sekitarnya. Tetapi perkhidmatan keretapi
untuk laluan Kuala Lumpur dan Ampang turut mendapat sambutan yang tinggi untuk
gerabak penumpang.
Stesen Jalan Sultan pernah menjadi stesen
keretapi paling sibuk di Tanah Melayu dengan jumlah penumpang seramai tiga ribu
orang setiap hari. Pada tahun 1950, kekerapan jadual sebanyak 11 perjalanan
sehari ditambah menjadi 19 perjalanan sehari. Ini menunjukkan laluan Jalan
Sultan ke Ampang adalah sangat menguntungkan.
Dalam satu artikel
The Star pada tahun 2015, seorang pesara menceritakan pengalaman beliau melihat
Stesen Jalan Sultan dibanjiri orang ramai untuk menghadiri acara keagamaan di sebuah
tokong yang terletak di Ampang.
Kebanyakan maklumat di internet menyatakan Stesen Jalan Sultan ini tidak lagi
aktif digunakan sejak tahun 1960. Namun, terdapat rekod yang stesen ini pernah digunakan pada tahun 1965
untuk pengangkutan penumpang, dan sebagai tempat jualan tiket perlawanan akhir bolasepak
Piala Malaysia pada tahun 1969.
Di dalam satu laman
web internationalsteam.co.uk, terdapat koleksi gambar lama yang
menunjukkan keretapi penumpang dan barangan melalui Stesen Jalan Sultan, Stesen Pudu dan Stesen Ampang.
Stesen Jalan Sultan ditutup secara rasmi pada 2 Oktober 1972, . Tidak lama kemudian, bangunan ini dirobohkan untuk tujuan pelebaran Jalan Pudu dan pembinaan Hentian Puduraya oleh Urban Development Authority atau UDA.
Bangunan Hentian Puduraya
telah dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn pada
2 Oktober 1976. Terminal bas ini kemudiannya ditukar nama kepada Pudu Sentral
pada 27 Ogos 2011 oleh Dato Sri Najib Tun Razak.
Pada satu gambar
lama yang diambil pada tahun 1930an, kita boleh lihat kedudukan Wesley
Methodist Church di sebelah kanan dengan landasan keretapi dihadapannya. Pada
masa sekarang, kedudukan Pudu Sentral adalah bersetentang dengan gereja ini.
Selepas penutupan
Stesen Jalan Sultan, laluan di antara Stesen Pudu dan Stesen Ampang ini
dikenali sebagai Ampang Branch. Laluan Ampang Branch
ini agak sibuk dengan penggunaan sisian-sisian keretapi untuk barangan yang
dibawa secara pukal. Ini termasuk sisian keretapi untuk Tasek Cement Berhad, Gula Felda-MSM Prai, Lembaga Padi Negara (kini BERNAS) dan Teh Boh Ampang. Maklumat sisian keretapi ini boleh dibaca di dalam blog zkeretapi.blogspot.com.
Pembinaan bermula
pada tahun 1994 and siap digunakan pada tahun 1996. Sejak tahun 2005, laluan
ini dikenali sebagai Ampang Line.
Stesen-stesen baru
dibuka sepanjang laluan asal dari Ampang ke laluan berdekatan dengan tapak lama
Stesen Jalan Sultan iaitu ke Stesen Plaza Rakyat. Dari Plaza Rakyat, stesen
dilencongkan ke Jalan Tun Perak sehingga ke Sentul Timur.
Agak sedih, tiada satu papantanda ditemui di kawasan ini sebagai satu tanda peringatan tentang kewujudan Stesen Jalan Sultan pada satu ketika dahulu. Diharapkan, pihak DBKL atau UDA sebagai pemaju hartanah di kawasan ini dapat meninggalkan satu memorial supaya kawasan bekas Stesen Jalan Sultan tidak menjadi hanya sekadar mitos kepada generasi akan datang.
Tontoni video di bawah untuk gambaran penuh sejarah Stesen Jalan Sultan yang menjadi asas dan bukti sejarah pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Ringan @ STAR LRT yang kemudiannya dipanggil LRT Ampang Line pada hari ini.
RUJUKAN
https://zkeretapi.blogspot.com/2011/10/landasan-keretapi-cawangan-ampang.html
https://www.internationalsteam.co.uk/malaya/mr/mr620.htm
https://www.flickr.com/photos/tramfan/15764075475
https://www.facebook.com/UDAHoldings/posts/3359825644074911
Comments
Post a Comment